Usaha-Usaha Pelbagai Pihak Untuk Meningkatkan Semangat Patriotik Dalam Kalangan Masyarakat Di Negara Kita

Usaha-Usaha Pelbagai Pihak Untuk Meningkatkan Semangat Patriotik Dalam Kalangan Masyarakat Di Negara Kita

Tema= semangat patriotik

Arah= usaha

……………………………………………………………………….

Negaraku

Tanah tumpahnya darahku

Rakyat hidup bersatu dan maju

Lagu kebangsaan iaitu “Negaraku” sinonim dengan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Semangat patritiok didefinisikan sebagai perasaan cinta akan negara. Orang yang memiliki semangat patriotik sanggup berkorban harta, tenaga dan nyawa demi negaranya. Kita seharusnya mencontohi tokoh nasional yang terbukti memiliki semangat patriotik seperti Tunku Abdul Rahman, Dato Onn Jaafar dan Mat Kilau. Tun Dr Mahathir pernah menyatakan , tiada bangsa yang tidak mencintai tanah airnya sendiri. Masyarakat pada hari ini sepatutnya mencontohi sikap masyarakat dahulu yang begitu tebal semangat patriotiknya bertepatan dengan dengan peribahasa biar putih tulang jangan putih mata. Hal ini demikian kerana, golongan muda pada hari ini tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan sehingga sanggup menterbalikkan Jalur Gemilang. Oleh itu usaha-usaha untuk menyuburkan kembali semangat patriotik yang menjadi mauduk perbincangan akan dihuraikan secara terperinci.

Sudah terang lagi bersuluh usaha untuk menyuburkan semangat patriotik adalah dengan memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Pihak sekolah sepatutnya menganjurkan Sambutan Bulan Kebangsaan peringkat sekolah. Sekolah sepatutnya mengisi slot Sambutan Bulan Kebangsaan dengan pertandingan deklamasi sajak, pertandingan pidato kenegaraan, pementasan drama kemerdekaan dan slot bicara tokoh kemerdekaan. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Tambahan pula, mata pelajaran Sejarah seharusnya ditambah kerja kursus selain hafalan tentang tarikh dan catatan sejarah lampau.Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara. Oleh itu benarlah, penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik perlu dimulakan di sekolah.

Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, oleh itu pihak seterusnya yang bertanggungjawab menyuburkan semangat patriotik ialah pihak media massa. Pihak media massa seperti televisyen, akhbar dan media arus kontemporari iaitu media sosial perlu menjalankan kempen cinta akan negara. Kempen perlu dijalankan sama ada secara bercetak mahupun disebarkan melalui media elektronik. Kempen yang paling efisien dijalankan melalui Youtube dan Facebook dengan meletakkan iklan sisipan pada video yang ditonton oleh pengguna media sosial.Sebagai contoh ikon Youtubers seperti Syamil Sazali, Zukie dan Yoe Pare boleh digunakan untuk melariskan tontonan video bertemakan semangat patriotik. Dengan perkataan lain, media sosial hendaklah digunakan sebagai sebaran maklumat yang dapat meningkatkan semangat patriotik. Selain itu televisyen hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.Oleh itu benarlah bahawa semangat patriotic boleh disuburkan melalui media.

Memetik kodifikasi hujah seterusnya ialah pihak kerajaan bertanggungjawab meningkatkan semangat patriotik dengan cara menjalankan aktiviti yang bersesuaian dalam kalangan masyarakat. Pihak kerajaan telah melancarkan Program Kibarkan Jalur Gemilang dan Pertandingan Rumah Patriotik di kampung-kampung dan di kawasan perumahan. Hadiah yang lumayan ditawarkan kepada pemenang peringkat kebangsaan. Oleh itu, aktiviti seperti ini dapat memeriahkan Sambutan Bulan Kemerdekaan. Di samping itu, Jabatan Penerangan atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan tokoh masyarakat yang memperjuangkan kemerdekaan suatu masa dahulu. Hal ini bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.Oleh itu bulan kian terang bayang kian jelas,  bahawa pihak kerajaan memainkan peranan penting dalam meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.

Peribahasa ada menyatakan ke mana tumpahnya kuah kalua tidak ke nasi. Oleh itu, semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat. Pemimpin peringkat nasional seharusnya menghayati  rasa megahnya bernegara dengan cara mengeluarkan kenyataan rasmi yang menjaga hubungan antara kaum. Mereka sepatutnya menjaga sensitiviti kaum Melayu, Cina dan India serta mengenepikan perbezaan fahaman politik masing-masing. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. Oleh itu benarlah, pemimpin berjiwa rakyat yang memiliki semangat patriotik yang tinggi akan menjadi ikutan rakyat jelata.

Peribahasa ada menyatakan, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Oleh hal yang demikian, ibu bapa memainkan peranan penting untuk memupuk semangat patriotik dalam sanubari anak-anak.  Ibu bapa harus sentiasa menanamkan kesedaran tentang pentingnya memelihara kedaulatan dan kemerdekaan negara sejak anak-anak masih berusia setahun jagung. Ibu bapa juga mesti menjadi “qudwah hasanah” yang baik kepada anak-anak dengan mengibarkan bendera bersama-sama anak-anak ketika sambutan  hari kemerdekaan negara.  Ibu bapa dan anak-anak juga boleh melawat tempat-tempat bersejarah tanah air semasa cuti sekolah supaya anak-anak dapat mempelajari sejarah negara dan tokoh-tokoh yang menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia. Justeru ibu bapa boleh membawa anak-anak memeriahkan sambutan hari kemerdekaan dengan membawa anak mereka ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Anak-anak akan menyaksikan perbarisan kemerdekaan yang disertai oleh  Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Pasukan Bomba dan Penyelamat serta banyak lagi .Dengan ini, anak-anak akan mendapat pendedahan dan kesedaran tentang semangat cinta akan tanah air daripada ibu bapa sejak kecil. Hal ini bertepatan dengan peribahasa anak-anak bagaikan kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkan mereka. Oleh itu, benarlah bahawa ibu bapa berperanan dalam menyuburkan semangat patriotik dalam diri anak-anak kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Akhirulkalamnya usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Semoga semua individu di negara kita memiliki semangat patriotik yang tinggi dansentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya. Sememangnya  generasi muda hari ini perlu disedarkan tentang kepentingan memiliki semangat patriotik.Sekiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu bagai aur dengan tebing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat.

.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s